Nuffnang

19 Ogos 2010

7 Kaedah Mendidik Anak Cemerlang













 Dalam mendidik anak-anak sebenarnya tiada formula khusus yang boleh diikuti atau diterapkan kerana setiap anak adalah makhluk yang luar biasa dan unik dan berbeza-beza antara satu sama lain.
Menurut Dato’ Dr Hj Mohd Fadzilah Kamsah dalam bukunya, 21 Kaedah Mendidik Anak Cemerlang, ilmu mendidik anak adalah satu ilmu kemahiran yang perlu dimiliki oleh ibu bapa sebagaimana perlunya mereka memiliki ilmu kemahiran rumah tangga, kewangan, teknikal dan agama.
Rasulullah S.A.W. telah menggariskan empat tahap mendidik anak iaitu:
Tahap Pertama: Anak yang baru lahir sehingga mumayyiz (enam tahun ) hendakkah kita banyak bergurau dan membelai mereka dengan penuh kasih sayang sebagaimana haiwan menjaga anak.
Tahap Kedua: Anak berumur tujuh tahun sehingga baligh(14 tahun)hendaklah kita mendidik mereka dengan arahan, disiplin dan beri tanggungjawab.
Tahap Ketiga: Anak berumur 15 tahun hingga dewasa (21 tahun ) hendaklah dididik dengan cara berkawan, bertukar pendapat dan hormati pendapat mereka selagi yang tidak bertentangan dengan syariat.
Tahap Keempat: Anak berumur lebih 21 tahun. Hendaklah para ibu bapa memberikan kebebasan bertindak selagi tidak bertentangan dengan syariat.Ibu bapa hanya perlu bertindak sebagai penasihat agar segala tindakkan mereka terkawal.
1. Kaedah Pesanan dan Arahan.
Pesanan dan arahan merupakan salah satu daripada kaedah yang disarankan oleh Rasulullah S. A. W. Anak-anak hendaklah dididik dengan dipesankan sesuatu terlebih dahulu. Lihat bagaimana reaksi mereka, apakah mereka boleh melakukannya hanya selepas sekali pesanan. Jika tidak berkesan maka hendaklah dipesan berulang kali tanpa merasa jemu dan bosan. Menurut pandangan pakar pendidikan kanak-kanak, anak yang pintar perlu diberi nasihat dan pesanan 200 kali tanpa bosan supaya mereka benar-benar memahami pesanan itu dan dapat bertindak dengan baik. Antara bentuk pesanan dan arahan kepada anak-anak :
• Mengenai solat di awal waktu
• Adab dengan orang tua-tua
• Adab dengan guru
• Adab dengan kawan-kawan
• Tugas harian di rumah
• Mengemas bilik sendiri termasuk meja belajar.
• Tatacara makan mengikut sunnah nabi
• Cara belajar yang berkesan
• Ingat sentiasa menutup aurat apabila keluar dari rumah
• Keselamatan jalan raya
• Tanggungjawab melindungi adik-adik.
2. Kaedah Bercerita
Kaedah bercerita menguatkan hubungan anak-anak dengan ibu bapa terutamanya kisah-kisah teladan daripada Al-Quran, kisah nabi dan sebagainya. Tujuan bercerita ialah untuk mendidik anak-anak secara tidak langsung melalui pemahamam minda bawah sedar mereka, menyampaikan maklumat dan menyerapkan pengajaran yang boleh dicungkil daripada cerita tersebut, mengerat dan merapatkan hubungan anak dan ibu bapa, anak-anak boleh menggambarkan di minda mereka dengan lebih jelas dan ini lebih berkesan bergantung kepada kemahiran pencerita.
3. Kaedah Soal jawab
Bersoala jawab denagn anak akan menggerakkan minda mereka. Ibu bapa yang cemerlang hendaklah sentiasa bersoal jawab dan mengambil tahu mengenai diri anak dan perkembangan aktiviti dan pembelajaran mereka. Kaedah ini hendaklah dilakukan secara berterusan dan tanpa mengira masa, keadaan dan tempat seperti ketika dalam perjalanan, di rumah, waktu makan dan sebagainya.
Ibu bapa hendaklah berusaha menjawab semua persoalan. Seandainya ibu bapa tidak tahu atau tidak pasti jawapan kepada soalan anak, jangan teragak-agak atau enggan untuk mengaku tidak tahu. Ibu bapa hendaklah memberi penjelasan atau jawapan kepada persoalan yang ditanya oleh anak daripada orang yang mahir dalam bidangnya.
Anak-anak kecil lazimnya suka bertanya soalan yang bertubi-tubi. Ramai ibu bapa yang tidak mengambil peduli keletah anak-anak ini. Tabiat ini tidak sewajarnya menjadi amalan ibu bapa kerana tabiat anak-anak yang bertanya itu sudah menggambarkan pembangunan minda anak-anka yang cemerlang. Jika ditangani dengan baik anak itu mempunyai potensi yang tinggi untuk menjadi anak cemerlang.
4. Kaedah Merujuk Pengalaman Lalu
Pengalaman yang positif boleh dijadikan teladan, pengalaman yang negatif boleh dijadikan sempadan. Pengalaman ini elok dibuktikan dengan gambar, dokumen atau barangan peninggalan yang terlibat. Ini kerana pengalamna ini amat mudah untuk menjelaskan mesej yang ingin kita sampaikan dan mudah pula dijadikan iktibaroleh anak-anak. Pengalaman anak-anak itu juga penting. Kaitkan apa perlunay mereka berwaspada denagn peristiwa pahit yang telah mereka alami atau peristiwa manis dan kejayaan yang pernah mereka kecapi.
5. Kaedah Nasihat dan Teguran
Berilah nasihat dan teguran kepada anak-anak dalam hal akidah, ibadah, akhlak, tanggungjawab, kesihatan, suci hati dan erti kesusahan. Kaedah ini sangat penting dan ia berbeza dengan kaedah pesanan dan arahan. Ini kerana nasihat dan teguran tidak boleh dibuat setiap hari atau setiap masa kerana anak-anak akan mudah merasa jemu dan bosan.
Ketika mendengar nasihat dan teguran daripada ibu bapa, anak hendaklah dilatih supaya memandang wajah kedua-duanya atau tunduk.
6. Kaedah Bermain dan Bergurau
Cuba tanya diri anda, berapa kerapkah anda bermain-main dan bergurau-gurau dengan anak-anak anda? Terdapat pelbagai kaedah untuk kita bergurau dengan anak-anak ketika sedang bermain, beriadah mahupun bersukan. Matlamat bergurau dengan anak-anak ialah untuk menggembirakan hati mereka.
Mengikut kajian psikologi, apabila anak berasa gembira dan disayangi, mereka akan menjadi anak yang berdisiplin dan berakhlak yang baik. Tetapi jangan pula bergurau melampau batas seperti bermain dan bergurau berlarutan sehingga meninggalkan ibadah wajib dan tugas yang lebih penting.
Bapa juga tidak manis bergurau atau bermain dengan anak perempuan yang telah meningkat dewasa. Begitu juga ibu tidak manis bermain dengan anak lelaki yang telah meningkat dewasa. Perlakuan tidak manis ini jika tidak diikat oleh iman yang kuat, sering berlarutan sehingga boleh menyebabkan berlakunya sumbang mahram.
7. Kaedah Latihan yang Berterusan
Anak yang cemerlang perlu dilatih secara praktikal dan berterusan. Kaedah ini juga disarankan oleh Rasullullah S.A.W. Anak kita memang cemerlang tetapi perlu dilatih secara praktikal dan berterusan. Kaedah latihan boleh dibahagikan kepada beberapa ciri diantaranya :-
a) Jantina
Ibu bapa hendaklah memberi tugas kepada anak-anak sesuai dengan jantinanya seperti tuga yang berat dan kasar diagihkan kepada anak lelaki manakala anak perempuan kepada kerja-kerja dalaman yang lebih ringan dan sesuai dengan watak keperempuanan mereka. Bagaimanapun tidak salah jika anak lelaki diajar dan diasuh melakukan pekerjaan yang sering dilakukan oleh orang perempuan seperti membasuh pakaian sendiri, menyidai pakaian, melipat pakaian, memasak, membasuh pinggan dan sebagainya.
b) Usia
Pengagihan tugas juga perlu diagihkan mengikut usia. Anak yang berusia di bawah enam tahun belum boleh diberi tanggungjawab yang serius. Tahap tanggungjawab boleh ditingkatkan apabila usia mereka meningkat dan mengikut kesesuaian waktu.
Jangan lupa memberi pujian dan penghargaan kepada anak setelah mereka berjaya melakukan sesuatu pekerjaan itu. Namun jangan berlebihan kerana bimbang anak itu akan bersifat takbur.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan